Monday, August 11, 2014

BANJIR








Pagi tu seawal 4 pagi kami dikejutkan dengan teriakan emak."Bangun..bangun...angkat baju banjir" kata mak. Kami adik beradik terkejut, automatik terus celik mata bangun dan lari ke bawah rumah. Untuk pengetahuan almari baju kami semua di tingkat bawah rumah. Bayangkan 10 orang adik beradik, berapa banyak baju. Almari mak beli panjang untuk kami. Masing-masing sibuk naikkan baju yang ditingkat bawah ke atas. Laju aje kami bekerja sama laju dengan air banjir yang masuk lalu pintu besar. Dah macam air terjun kat perigi Hang Tuah di Gunung Ledang kami tengok.

Mula-mula baju tingkat bawah naik tingkat 2 almari, lepas tu bila air naik lagi, kami naikkan lagi baju ke tingkat 3 sampai last naik tingkat atas sekali tingkat 4. Lama banjir kali ni..sampai naik ke rumah tengah. Kami ingat lagi, kami basuh baju dalam banjir. Nasib baik lah umur kami panjang, punyalah cetek ilmu masa tu mesin basuh separuh dalam air, kami masih basuh gunakan mesin. Kalaulah kena elektrik masa tu, mau satu family kena.

Penat dan seronok pon ada masa banjir ni...masa tu 2 ke 3 hari lagi nak Raya. Kami berbuka puasa dengan kaki berendam air banjir. Maklumlah dapur pon naik air. Masak pun dalam air. Bila basuh kain, penuh ampaian sebab baju tak kering kerana hujan masih turun. Sekali ampai putus macam nak menangis tengok baju jatuh dalam air banjir semula. Kena basuh balik semula. Ini kenangan yang masa kami mengalaminya kami rasa penat, letih dan bila mengenangnya kami rasa rindu untuk balik ke saat itu. Bila malam kami adik beradik duduk di bawah beranda atas dalam gambar tu mandi air banjir.

Selang berapa tahun abah buat renovation rumah, naikkan lagi tinggi rumah. Dia kata biar tak masuk air banjir kalau banjir lagi. Allah punya kuasa macam abah cakap banjir sekali lagi dan kali ni air naik lagi tinggi dari dulu. Sudahnya masuk juga air dalam rumah walaupun dah tinggi.

Kami masih ingat lagi masa banjir kedua abah ada sampan. Tak ingat mana dia dapat sampan tu, buat ke beli ke tak ingat. Bila balik dari sekolah abah nak test sampan dia. Kami tak nak naik sampan, kami pilih nak harung air tapi abah suruh naik sampan jugak terpaksalah kami ikut cakap abah. Mula-mula naik ok aje, lebih kurang berjaya, bila dah sampai nak turun abah kata sabar satu-satu turun, tapi kami tak sabar semua bangun nak turun sebab kami rasa sampan tu memang tak stabil pon, apa lagi terbalik sampan tu. Habis... semua jatuh dalam air...apa yang paling kelakar dan paling kami ingat..semua masuk dalam air tapi tangan semua kat atas sebab junjung beg sekolah takut buku basah. Kami basah kuyup dengan air banjir tp buku sekolah selamat. Kalau tengok lah cara kami selamatkan buku sekolah tu sepatutnya kami semua masuk universiti antarabangsa sebab sayang sangat dengan buku tu...hehehehehe

Ini kenangan dengan abah yang setiap kali kami bercerita pasti akan ketawa. Dan kerana itu kami sedih dan rasa terkilan bila ada pihak sesuka hati menggunakan nama abah untuk kepentingan,  kerana apa... kerana dia Abah kami.


Sunday, August 10, 2014

JAWS DAN JARI ABAH

Waktu kami kecil permainan kegemaran kami adalah 'Jaws'. Tak tahulah zaman sekarang ada tak budak-budak main permainan ini.

Waktu itu hujan lebat dekat luar rumah..sebab tak ada aktiviti luar boleh buat kami pon main jaws. Permainan mudah aje..Katil dua tingkat kami jadi Kapal...Sape jadi jaws kena kat luar dari katil..lautlah konon-kononnya.

Hari itu kami seronok sungguh...Main sambil terjerit-jerit..maklumlah takut kena tangkap dengan jaws. Tiba-tiba guruh berdentum. Pintu bilik arwah mak pon ikut sama berdentum tertutup rapat, Kami dengar suara abah memarahi kami...apa lagi...seperti biasa bila dengar suara abah semua lari menyorok. Sebab sesiapa yang tak lari dan menyorok akan jadi mangsa tali pinggang dia dulu.Macam biasa..sorang menyorok dalam almari baju, sorang bawah katil, sorang belakang pintu dan mana-manalah tempat asal selamat dari jadi mangsa tali pinggang. Siapa yang abah tak jumpa dia selamat. 

Hari tu..lain sikit...abah tak pukul kami.  Ingat lagi masa tu, abah masuk dalam bilik kami dan tunjukkan pada kami jari abah putus. Kami semua terdiam. Ada yang menangis bila tengok jari abah putus. Putus terus. Rupa-rupanya tangan abah tersepit pintu masa dia nak keluar bilik marah kami sebab terjerit-jerit. Dentuman pintu yang kuat tu menyebabkan jari abah putus.

Apa yang mak cerita semasa pintu tu berdentum...abah nampak lembaga hitam kat pintu tu. Lama juga abah dengan mak berulang alik ke hospital. Sejak dari itu jari tangan abah senget sedikit.

Mengikut cerita abah bila tiba dihospital, abah suruh doktor jahit sambung jari tu tapi doktor tak nak sebab jari yang putus dah tak fungsi sebab dah lama sangat. Nanti kalau cantum akan busuk. Tapi abah berkeras suruh cantum dan doktor terpaksa ikut cakap abah. Memang cakap doktor tak selalunya betul. Dengan izin Allah jari abah tu cantum semula walaupun tak berapa sempurna.

Mula-mula hitam...ingatkan busuk. Rupanya tak..lama-lama hilang hitam tu. Dari apa yang aku tahu dan dengar bukan doktor jer yg ubat abah tapi ada doktor yang lain juga dengan cara lain. Wauallahuaklam

KISAH POKOK LIMAU TEPI RUMAH

Dulu terdapat dua pohon pokok limau yang berbuah lebat hampir setiap tahun di tepi rumah, Waktu itu saya berusia 14 atau 15 tahun kalau tak silap.

Pokok ini memberikan hasil yang banyak dan rasanya ramai orang turut sama-sama berkongsi rasa buahnya yang kadang-kadang masam dan manis. Bila musim buah limau berbuah, kami adik beradik ada yang jadi penjual limau di sekolah. Hehehehe...seronok masa tu.

Musim berlalu, tiba-tiba pokok limau yang sentiasa berbuah lebat itu mati. Mati tiba-tiba...daun-daun gugur..ranting kering...dan mati. Sebenarnya kami tak ambil kisah sangat pohon limau itu...pada kami mati pon matilah...dah nak mati nak buat apa..Tak ade rezeki namanya.

Sehinggalah satu hari arwah mak tunjukan pada kami apa yang dijumpa oleh arwah abah. Arwah abah jumpa satu botol diisi dengan paku dan rambut tak silap dan gambar abah dan emak ditanam dibawah pokok limau tersebut. Errm... sape punya kerjalah itu... Hal ini berlaku selepas beberapa minggu Majlis Hol Muharam diadakan..pelakunya sampai sekarang kami tidak tahu...apa yang arwah abah bagi tahu orang-orang yang rapat.

Mungkin pokok limau itu mati sebab panas agaknya...KEBETULAN lah kot...Sebenarnya mmg nak matipon.

Apa yang saya belajar dari peristiwa ini...tak semua yang rapat itu ikhlas ada yang rapat kerana ingin mendapatkan apa yang ada pada kita dan memusnahkan kita. Satu Pelajaran Untuk Hidup.

RUMAH KAMI & SAMBUTAN HOL MUHARAM

                           






Inilah rumah di mana kami sepuluh adik beradik dibesarkan. Dirumah ini berbagai peristiwa pahit, manis suka dan duka kami lalui. Namun kami sentiasa bersyukur dan berbangga kerana kami dilahirkan berbinti dan berbinkan Haji Radin Ismail Bin Haji Sanif.

Dilaman inilah Majlis Hol Muharam diadakan sejak dari kami melihat dunia ini dan kami tidak pernah mendengar dari mulut abah untuk mengubah tapak majlis ke tempat lain kerana ini Majlis  Keluarga kami.

Hol Muharam adalah Majlis yang Abah sambut setiap tahun dengan tujuan asalnya adalah kerana dia mengikut sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah  Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

Maksudnya:  “Barangsiapa yang melapangkan (menyenangkan) keluarganya pada hari ‘Asyura, Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun.”

(Hadis riwayat al-Baihaqi) 

Apa yang dimaksudkan dengan ‘melapangkan’ atau  ‘menyenangkan’ di dalam hadis di atas adalah berbelanja pada  makanan dan minuman lebih daripada hari biasa serta  menggembirakan anak-anak contohnya dengan menghulur belanja  lebih dan yang seumpamanya.

Di Malam Majlis Hol Muharam ini barulah diadalah Majlis Pencak Silat yang asalnya bertujuan mengkhatamkan ahli-ahli yang telah tamat belajar. Pada mulanya kumpulan yang menyertai abah hanya sedikit dan lama-kelamaan menjadi banyak kumpulan.

Arwah abah pernah berkata ada yang cuba mengambil-alih apa yang diasaskan oleh beliau dan hari ini kami menyaksikannya dengan mata kami apa yang dikatakan pada kami dahulu.


  


KELUARGA KAMI





AYAHANDA HAJI RADIN ISMAIL BIN HAJI SANIF (AL-FATIHAH)


BONDA HAJAH MASAMAH BINTI SARIMAN (AL-FATIHAH)


ANAK-ANAK:-

RADIN IDAWATI BINTI RADIN ISMAIL
RADIN HASILAWATI BINTI RADIN ISMAIL
RADIN NORMALAWATI BINTI RADIN ISMAIL
RADIN RAHMAWATI BINTI RADIN ISMAIL
RADIN AZMAWATI BINTI RADIN ISMAIL
RADIN MASWANDI BINTI RADIN ISMAIL (SUDAH MENINGGAL - AL-FATIHAH)
RADIN WAHIDAWATI BINTI RADIN ISMAIL
RADIN SUSTRAWANDI BIN RADIN ISMAIL
RADIN HAMILAWATI BINTI RADIN ISMAIL
RADIN EARWANDI BINTI RADIN ISMAIL (PENYAMBUNG PERJUANGAN ABAH)
R. ERNALIZAWATI BINTI A.R. ISMAIL






NASI MINYAK ORANG BUNIAN

Saya terpanggil untuk melahirkan blog ini, bila mana saya melihat terlalu ramai orang yang cuba menggunakan nama ayah kami Haji Radin Ismail untuk kepentingan sesuatu kumpulan atau peribadi. Biar saya cerita tentang keluarga kami. Maksud kami disini adalah keluarga dari Haji Radin Ismail dengan Isterinya yang pertama sahaja iaitu Hajah Masamah Binti Sariman.

Abah merupakan seoarang ayah yang sangat tegas dan garang orangnya. Abah jugak merupakan seorang yang dikenali ramai kerana keistimewaan yang dimilikinya. Dia adalah serorang Guru Ilmu Persilatan dan Perubatan Tradisional yang terkenal di Batu Pahat. Sebut saja 'Pak Wan' semua orang kenal.
Walaubagaimanapun sebagai anak kami menganggap abah istimewa sebab dia abah kami. Abah adalah pengasas Persilatan PANJI dan abah sering menggunakan perkataan RIA yang bermaksud Radin Ismail Al-Haj. Flat kereta abah yang kami paling ingat dan paling suka adalah JS 232 jenis Ford.Di belakang kereta abah lekatkan perkataan MASRIA yang bermaksud Masamah & Radin Ismail Al-Haj.

Zaman kanak-kanak kami adalah zaman paling mengembirakan dan seingat saya tidak ramai anak abah yang dapat melihat dengan mata sendiri kehebatan abah.

Pernah satu ketika, kami makan bersama-sama. Tiba-tiba abah menjawab salam. Saya memandang mak, dan mak memandang saya. 

"Mana ada orang bagi salam" mak bertanya dengan abah.

"Orang bagi salam, macam tu punya kuat pon tak dengar" balas abah.

Saya diam aje...saya anak yang paling takut dengan abah. Jadi saya tak berani bersuara. Sebenarnya saya pon sama macam mak...kami tak dengarpun orang memberi salam. Abah bangun meninggalkan meja makan untuk melihat orang yang memberi salam seperti yang di beritahu olehnya.

Sekejap lagi abah masuk ke dapur..dia menatang satu dulang berisi nasi minyak dengan ayam golek diatasnya.

"Sulaiman...bunian dekat sawah yang bagi..patutlah tak dengar salam" kata Abah.

"Patutlah..tak dengar" balas mak.

"Ade lagi ke abah orangnya" tanya kak long. 

Dia berlari ke depan sebab nak tengok orang bunian yang dimaksudkan abah. Sebentar kemudian dia masuk semula. 

"tak nampaklah abah...nampak orang naik basikal aje" dia mengeluh

"itulah dia" balas abah

Tengahari itu kami makan nasi minyak yang diberi oleh bunian di sawah sarang buaya. Sebenarnya ini bukan pertama kali kami menikmati makanan dari orang bunian. Sebelum ini kami juga pernah menikmatinya samada dihantar dari Gunung Ledang atau Sawah depan. 

Biasanya nasi minyak dalam dulang dengan ayam seekor dan diletakkan didalam bilik dimana abah mengubat orang. Itulah salah satu kehebatan abah yang aku lihat dengan mata aku sendiri. Terpulang untuk percaya atau tidak..kerana aku menyaksikannya maka aku percaya dia mempunyai kehebatan berhubungan dengan orang yang kita tida nampak. Wauallahuaklam.

Lain kali saya akan cerita lain pula.