Thursday, September 24, 2015

HOL MUHARAM DATANG LAGI

Macam baru lepas aje Hol Muharam yang lalu. Dah nak datang lagi. HOL kali ini kami sambut dengan Majlis sambut menantu sekali untuk adik kami. Tahun ni mungkin lebih meriah lagi sebab ada majlis persandingan. Yang buat kami tak sabar sebenarnya bukan Majlis tersebut tetapi kelancaran Majlis tersebut dan reaksi banyak pihak terhadap Majlis tersebut. Manusia ni sebenarnya kelakar, mereka akan terus mencuba biarpun mereka tahu kebenarannya. Bagi kami macam biasa macam abah selalu pesan..."Biarlah" apa yang penting niat mereka kalau betul betullah...kalau tak betul sapelah kami nak membetulkan mereka. Cuma lihat pada nama sendiri..layakkah untuk menjadi penganti...

Pesanan untuk diri sendiri berpijak di bumi nyata biarpon kadang-kadang menyakitkan. Berbanggalah dengan asal usul sendiri kerana itulah diri kamu sebenarnya. "PEACE"

Sunday, November 9, 2014

SAMBUTAN HOL MUHARAM 2014

Lama rasanya tak menulis dalam blog ini, bukan tak ada cerita yang nak ditulis cuma sesekali terasa bimbang takut ter'expose' rahsia keluarga. Hari ini saya tak nak bercerita tentang masa lalu. Hari ini saya bercerita tentang Sambutan Majlis Hol Muharam yang baru saja selesai sabtu lepas 8hb November 2014.

Kami sangat-sangat bersyukur dan amat berterima kasih dengan semua yang hadir. Bila kami lihat ramai anak-anak murid abah yang lama-lama turut sama datang memeriahkan majlis kami, kami rasa terharu dan bersyukur sangat-sangat kerana masih ada lagi ramai yang sudi bersama kami biarpun abah telah tiada. Setiap kali kami terpandang wajah-wajah yang terlalu biasa dalam hidup kami sewaktu arwah abah hidup, setiap kali itulah kami rasa bersyukur dan gembira.

Majlis kali ini meriah dan lebih meriah lagi kerana kami bawa bersama rakan-rakan kecil yang menceriakan Majlis kami dengan harapan mereka turut sama dapat bergembira. Tetamu yang tidak putus-putus datang sebenarnya mengejutkan kami.Apapun kami bersyukur sebab Allah masih mendengar kesedihan kami. Memang apa yang menjadi hak kami biarpun jadi rebutan tetap hak kami dan tak perlu kami rebutkan. Alhamdulillah.

Majlis Pencak Silat juga berjalan lancar. Bila melihat adik kami menyarung pakaian lengkap persis seperti seorang Pendekar teringat dengan arwah abah. "Abah..tengoklah anak abah meneruskan perjuangan abah...semoga dia tabah dan menjadi lebih baik. Dia berhadapan dengan apa yang pernah abah lalui sebelum ini, biarpun dia tak sehebat abah..kami masih berharap dia boleh menjadi seperti abah..Ins Sha Allah.







 


TETAMU ISTIMEWA KAMI

Kami doakan semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmati kalian semua.






Tuesday, August 19, 2014

GUNUNG LEDANG





Sebenarnya kisah Gunung Ledang ni saja aku simpan sebab ada banyak gambar dalam simpanan yang boleh di'upload' untuk tatapan semua tetapi memandangkan idea menulis datang so aku tulis juga hari ini.

Untuk kisah Gunung Ledang ini, aku menggunakan 'aku' sebab ianya adalah pengalaman yang aku sendiri alami. Ini kerana kami adik beradik tidak pernah pergi serentak ke Gunung Ledang mengikut abah. Biasanya ikut 'turn'. Maklumlah 10 orang.

Sepanjang hidup dan bergelar anak abah aku pergi ke Gunung Ledang mengikut abah cuma 2 kali. Pertama ketika aku masih sekolah rendah. Waktu itu aku pergi bersama-sama dengan emak, seorang kakak dan seorang sepupu serta beberapa orang lagi. Kami naik ke atas menuju tempat penginapan biasa iaitu Gua Chap melalui jalan biasa yang ditunjukkan abah. Orang-orang yang telah lama dan biasa lebih arif tentang jalan ini.

Untuk naik ke Gunung Ledang ini, dimestikan memakai pakaian berwarna hitam. Menurut cerita emak pakaian hitam ini sebenarnya ada cerita tersendiri. Cerita emak lagi dulu sewaktu abah naik ke Gunung Ledang sendirian dia telah dikepung oleh sekumpulan orang asli di Gunung Ledang. Ketika mereka mula menyerang abah, abah telah melompat naik ke atas pokok dan hal ini membuatkan mereka terkejut dan terus tunduk menghormati abah. Bermula dari situ mereka berjanji tidak akan mengganggu sesiapa yang memakai pakaian hitam kerana menurut perjanjian sesiapa yang memakai pakaian hitam adalah pengikut-pengikut dan ada hubungan dengan abah. Bagaimanapun aku tak pasti orang asli yang dimaksudkan mak benar-benar manusia biasa seperti kita atau tidak.

Biasanya abah akan membuat khemah di atas tanah yang cukup-cukup untuk sebuah khemah berhampiran dengan tempat tidur perempuan. Memandangkan kali ini perempuan agak ramai, mak menyuruh aku tidur dengan abah. Malam pertama aku tidur dengan abah, tiba-tiba aku terjaga.Aku tengok abah tak ada dekat sebelah. Punyalah takut. Dahlah dengar bunyi harimau. Sorang-sorang pulak dalam khemah. Teringat pulak abah pernah kata kalau bunyi dekat maknanya harimau itu jauh tapi kalau bunyi perlahan maknanya harimau itu berada dekat. Abah kata bila tengah malam harimau tu akan mandi di air terjun yang betul-betul depan Gua Chap tu. Seram aku.  

Esoknya pagi, masa sarapan abah datang dari arah hutan atas seberang air terjun. Dia membawa pulut kuning, rendang ayam hutan dengan beberapa biji telur lalu diberikan pada mak. Orang Gunung bagi kata abah. Kalau difikirkan semula macam tak logik aje, mana abah dapat rendang ayam tu sebab aku tak pernah nampak abah memasak.Apa yang aku tahu sepanjang hidup dengan emak abah tak pernah mengambil nasi dari periuk untuk makan. Semua makanan abah siap terhidang dan abah cuma makan aje. Senduk nasi pon mak yang buat. Baiknya seorang isteri dan aku rasa aku pon tak mampu jadi macam emak.Bagaimanapun semua ini hanya ketika abah sentiasa bersama kami.

Sebenarnya banyak cerita kejadian-kejadian pelik yang pernah aku dengar dari orang-orang yang sama-sama naik ke Gunung Ledang tapi tak semua boleh dipercayai. Ada yang lebih berimiginasi sebab setiap kali kami dengar cerita dari mulut orang kami akan bertanya abah samada cerita itu betul atau pun tidak. Dan abah akan mengiakan jika betul dan akan ketawa bila tidak.

Satu kisah yang abah cerita lagi ialah seorang pak cik yang juga sahabat baik abah yang ikut sama naik buat pertama kali. Pak cik ni orangnya lurus. Bila dia tak suka dia cakap dia tak suka. Bila dia suka dia akan memuji. Dia jujur dan tidak berpura-pura. Abah kata semua yang pak cik ni cerita betul. Mungkin sebab hati dia bersih dia diberi keistimewaan untuk melihat bermacam-macam perkara. Dia nampak orang jual sapu tetapi dia lari sebab dia sangka orang tu nak pukul dia dengan penyapu. Abah kata pak cik tu sepatutnya beli penyapu tu bukan lari. Mungkin tak ada rezeki dia. Dah meninggalpun orangnya. Semoga Alllah mencucuri rahmat ke atas arwah.   
 
Kali kedua aku pergi aku berada dalam tingkatan 3 kalau tak silap. Kali ni aku pergi dengan dua orang kakak. Kali nie juga Allah izinkan aku lihat sendiri dengan mata aku alam ghaib. Malam tu tengah aku dengan kakak duduk-duduk, abah panggil kami. "Nak tengok istana bunian tak?" tanya abah. Kami apa lagi terus bangun. Abah panggil kami naik ke atas dimana khemah abah didirikan. "Nampak tak obor api tu?" tanya abah smbil menunjuk ke satu arah dibawah. Waktu itu aku nampak obor-obor api yang banyak tersusun mengelilingi sesuatu yang besar. Tapi cuma obor-obor api aje yang nampak lain tak nampak. "tengah-tengah yang kosong tulah istana bunian" tambah abah lagi. Patutlah obor-obor api itu seperti mengelilingi sesuatu yang besar, rupa-rupanya istana. Untuk aku, aku hanya nampak api sahaja...emmm tak ada rezeki. Bila siang kami naik semula untuk melihat tempat tersebut, apa yang kami nampak cuma hutan tebal. Dan walaupun cuma obor-obor api, aku rasa bangga sebab setidaknya aku nampak ianya tersusun mengelilingi sesuatu dan aku bertuah dapat menyaksikan satu lagi kekuasaan Allah. 

Pengalaman menaiki Gunung Ledang ini, adalah paling bermakna buat diri aku. Teringat bila sampai dikemuncak Gunung dimana kaki mencecah awan dan memijak tanah lapang yang berumput halus aku dapat rasakan tempat itu ada yang menjaganya. Kebenarannya hanya Allah sahaja yang tahu. 


 



CERITA RUMAH KAMI

Cerita ini kami dengar sebahagian dari emak dan sebahagiannya dari abah. Menurut cerita mereka abah beli rumah dan tanah rumah kami sekarang dengan harga yang rendah kerana tiada pembeli yang boleh bertahan lama dengan rumah ini. Menurut mereka, tapak rumah kami adalah tapak rumah orang halus yang mana sesiapa yang tinggal disitu akan jadi mangsa gangguan mereka kerana itu adalah cara mereka untuk menghalau pembeli rumah ini.

Abah beli rumah ini sejak dia bujang dan menurut cerita abah dia duduk dirumah tersebut bersama beberapa orang rakan yang lain. Cerita abah lagi setiap malam mereka akan tidur di atas katil bersama dan setiap pagi rakan-rakan abah yang lain akan dipindahkan ke tempat lain. Maksudnya hanya abah sahaja yang kekal tidur di atas katil, manakala seorang kawannya diletakkan dalam bilik air dan seorang lagi di tengah halaman. Tidak setakat itu mereka juga menakut-nakutkan kawan-kawan abah dengan gangguan-gangguan lain sehingga abah marah.

Abah kemudiannya berhasrat memindahkan mereka bagaimanapun mereka memohon maaf dan berjanji tidak akan mengganggu lagi. Abah bersetuju dan membiarkan mereka terus tinggal disitu. Bagaimanapun seperti yang semua sedia maklum mahluk seperti ini tidak pernah berpegang kepada janji. 

Setelah berkahwin dengan emak, abah membawa emak tinggal dirumah ini. Banyak kejadian pelik berlaku sehingga emak merasa takut untuk tinggal dirumah ini. Pernah satu malam sedang emak membasuh pinggan, emak terdengar suara pak cik memanggil emak dari pintu belakang. Bila pintu dibuka tiada sesiapa yang kelihatan.

Melihatkan hal ini berlanjutan abah lalu mengambil keputusan memindahkan mereka dari tapak rumah kami. Menurut emak, abah pindahkan mereka pada malam jumaat dan menurut emak malam itu hujan lebat dan kedengaran suara ramai orang menangis. Menurut emak lagi keluarga mereka besar dan abah telah memindahkan mereka ke sawah dihadapan rumah kami. Bahagian mana sawah itu kami tak pasti yang pastinya di sawah depan. Dan menurut emak lagi semua keluarga tersebut dipindahkan kecuali seorang yang tidak mahu berpindah kerana telah tua. Dia memberikan alasan yang dia telah lama disitu dan berjanji dengan abah tidak akan menganggu keluarga dan kawan-kawan abah.

Sejak peristiwa itu tiada lagi gangguan-gangguan dirumah kami. Jika ada pun cuma dari orang-orang yang datang berubat kerana diganggu mahluk-mahluk seperti ini. Sewaktu peristiwa ini terjadi aku belum lagi dilahirkan ke dunia ini kerana menurut emak waktu itu emak baru ada dua orang anak sahaja.


 

CERITA SOLAT DAN BATU

Sejak Kecil lagi kami diajar oleh abah untuk bersolat berjemaah bersama-sama. Kami sentiasa melihat abah bersolat jemaah dengan mak setiap waktu. Itu adalah hal biasa dan satu kemestian buat abah.
Bila solat berjemaah dengan abah mesti akan jatuh batu-batu entah dari mana pun kami tak tahu. Kadang-kadang delima, kecubung, baiduri, nilam dan entah apa lagi nama batu sampai tak ingat sebab banyak sangat. Tetapi taklah bermaksud batu ni jatuh sekali banyak. Kadang-kadang 1, Kadang-kadang 2, kadang 3, Kadang 4 lebih kurang macam tulah. Walaubagaimanapun kami menganggap peristiwa batu jatuh ketika sembahyang ini adalah perkara biasa sebab kami melihat sejak kecil dan tidak langsung menganggap ianya pelik.

Kadang-kadang kami rasa ada makmum yang jadi tak kyusuk bila dengar bunyi batu jatuh. Ialah mana boleh kyusuk, nak-nak yang tak pernah mempunyai pengalaman ini, tentulah yang berpengalaman telah bercerita dulu. Bila jatuh mula tercari-cari dari arah mana. Yang ada pengalaman pon ada yang lebih tak kyusuk sebab asyik menunggu batu jatuh. 

Sehingga hari ini aku tidak berapa pasti dari mana sebenarnya batu tersebut datang sebabnya tak kira di mana abah pun sembahyang berjemaah kalau nak jatuh batu tu jatuh jugak. Pernah sekali jatuh dirumah bapa mertua aku. Terkejut dia...mungkin dia rasa pelik sebab dia cuma dengar cerita, tak sangka dia juga dapat melihat kebenarannya. Wauallahuaklam.



Thursday, August 14, 2014

KISAH RUMAH NYAYI

Abah sangat sayangkan arwah nyayi iaitu ibunya Halimah Binti Muhamad. Dan kerana sayang dan kasihnya terhadap nyayi dia beli tanah selang sebuah dari rumah kami dan pindahkan nyayi ke rumah yang dibelinya bersama-sama tanah tersebut supaya senang dia menjaga nyayi. Sebelum nyayi pindah ke rumah tersebut, kami sering dibawa abah untuk menziarahi nyayi waktu itu arwah nyayi tinggal di Pekan Semerah.

Selepas arwah nyayi berpindah dekat dengan kami, kami selalu ke rumah arwah sebab arwah nyayi ada menjaga seorang adik kami iaitu adik yang no. 5. Kami selalu ke sana untuk bermain-main dan kalau kami tidak ke sana adik pula akan datang bermain-main dengan kami di rumah tanpa perlu abah membawa kami lagi. 

Satu hari abah pergi ke rumah nyayi, kali ini kami ikut abah sebab kami nak bermain-main di sana. Di rumah nyayi kami sibuk bermain tanpa memperdulikan abah yang berbual dengan nyayi di rumah tengah. Tiba-tiba nyayi memanggil kami, kami berlari mendapatkan nyayi. Kami lihat abah terbaring dirumah tengah seperti tidak sedarkan diri dan nyayi duduk disebelah abah. Nyayi menyuruh kami memanggil emak.

Kami berlari balik memanggil emak. Tidak lama kemudian emak datang. Dia duduk disebelah abah. Kami lihat emak berbual-bual dengan abah dengan suara yang perlahan. Bahasa abah juga susah untuk kami fahamkan. Sekejap-sekejap emak mengangguk-angguk. Tidak lama kemudian kami lihat abah sedar seperti biasa.

Kami kembali bermain seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sebenarnya ini fenomena biasa bagi kami. Fenomena dimana abah tiba-tiba rebah dan kemudian selepas berbual-bual dengan emak dia kembali seperti biasa. Apa yang mak bagi tahu kami 'embah' datang untuk menyampaikan sesuatu pesanan terus kepada emak. Dan apa yang kami tahu bila hal ini berlaku biasanya hanya emak yang dapat memahami apa yang keluar dari mulut abah.

Tuesday, August 12, 2014

ZAMAN MUDA DAN KEHEBATAN ABAH




Kisah zaman muda abah banyak yang kami dengar dari kawan-kawan rapat abah. Kawan-kawan rapat abah bermakna pak cik-pak cik kami, yang kami kenal sejak kami lahir yang turut sama meraikan kehadiran kami dalam dunia ini.Antaranya Pak Cik Syukri yang nama sebenarnya Syukor Bin Jiman. Dia juga menghantar kami ke sekolah sejak kami Tadika hingga kami dewasa. Dia sama-sama tinggal di rumah kami sebelum berkahwin.

Berbalik ke kisah muda abah, dari cerita seorang kawan baik abah, abah adalah seorang yang gemarkan motor. Dia juga hebat dalam memandu motor dan kami percaya sebab abah satu-satunya orang yang kami tak pernah merasa takut bila naik kenderaan bersama. Mungkin sebab dia abah kami jadi perasaan kami seperti itu. Jika abah dilahirkan di zaman ini mungkin abah juga akan gemar berlumba motor...hehehehe.

Sejak muda abah telah memiliki keistimewaan sendiri. Dia juga menuntut ilmu perubatan dan persilatan sejak muda. Cerita kawan abah lagi abah bukan saja boleh mengubat orang sakit tetapi dia juga boleh mengubah kertas menjadi duit bagaimanapun ianya tidak boleh digunakan kepada orang islam dan wang kertas yang berubah ini takkan bertahan lama hanya untuk tempoh sekejap sahaja.

Cerita mereka lagi abah boleh menukar air menjadi minyak. Pernah seorang rakan yang memandu bersama-sama abah kehabisan minyak kereta. Abah menyuruh rakan itu memasukkan air kedalam tank minyak dan kemudian mereka meneruskan perjalanan. Bagaimanapun kami tidak mengetahui kebenaran cerita ini kerana ianya hanya dari cerita mulut ke mulut.

Apa yang kami tahu dari cerita emak, kehebatan ilmu abah menukar kertas menjadi duit akan hilang bila dia berkahwin. Dari cerita emak selepas emak lahirkan aku iaitu anak ke 4, abah berhasrat untuk mendapatkan kembali ilmu tersebut. Untuk mendapatkannya abah kena ke Indonesia dan bertapa di Gunung .... selama 7 tahun. Bermaksud abah terpaksa meninggalkan emak selama 7 tahun. Emak tidak bersetuju memandangkan ianya tempoh yang lama dan abah terpaksa membatalkan niat tersebut.

Satu lagi kehebatan abah ialah dia boleh berada di 2 tempat berbeza bagaimanapun saya tidak dapat bercerita lanjut sebab cerita ini terlalu lama dan seingat saya cerita ini diceritakan oleh ibu saudara yang saya sendiri lupa yang mana satu.

Satu kehebatan abah yang pernah kami alami ialah ketika jumaat kliwon. Jumaat Kliwon adalah malam penting dalam perubatan abah. Setiap kali Jumaat Kliwon, rumah kami macam kenduri. Ramai orang datang dan abah seperti biasa dia adalah seorang pemurah yang akan menyediakan makan untuk setiap orang yang datang ke rumah kami. Sampai ada ketikanya kami bosan sebab selepas waktu makan pon kami terpaksa menyiapkan makan untuk tetamu yang datang. Dan sebab itulah kami rasa Allah murahkan rezeki abah. Abah suka memberi makan orang yang berkunjung dirumah dan itu menjadi satu kewajiban baginya. Dia juga tidak pernah mengambil duit perubatan yang diberi dari orang-orang miskin sehinggakan ada seorang hamba Allah yang susah dan selalu berjumpa abah merasa malu, lalu dia datang membawa gula atau kopi sebagai ganti kerana abah tidak pernah mahu mengambil duit yang diberikan.Cerita ini bukan tujuan untuk menunjuk-nunjuk tapi biarlah ia jadi tauladan untuk kita.

Kembali ke cerita Jumaat Kliwon, Malam itu orang yang datang ramai sangat lebih ramai dari biasa. Abah panggil semua orang turun makan. Kami di dapur risau sangat takut nasi tak cukup. Kakak ke depan memanggil abah kedapur. "Abah...nasi macam tak cukup, orangnya ramai ni" dia bagi tahu. Abah tenang aje. Dia cakap dengan akak "jangan risau mesti cukup" Dia pesan dekat akak supaya ambil nasi macam biasa. Tak tahulah apa yang abah buat...kami heran nasi yang disenduk tak habis-habis. Macam dah habis bila senduk ada lagi. Akhirnya semua dapat makan, nasi yang macam tak cukup tu cukup untuk semua orang.

Itu cerita kehebatan abah yang kami dengar dan alami. Percaya atau tidak terpulang...bagaimanapun apa yang abah miliki semua anugerah dari Allah SWT dan dengan izinnya. Abah seorang yang tidak lekang dari membaca quran dan berpuasa. Kami lahir dengan menyaksikan abah berpuasa hampir setiap bulan. Kami paling gemar mendengar abah mengaji kerana abah mempunyai suara yang lunak bila mengaji. Abah mengaji hampir setiap pagi dan selepas maghrib dan aku pernah berimpian untuk jadi seperti abah.