Abah sangat sayangkan arwah nyayi iaitu ibunya Halimah Binti Muhamad. Dan kerana sayang dan kasihnya terhadap nyayi dia beli tanah selang sebuah dari rumah kami dan pindahkan nyayi ke rumah yang dibelinya bersama-sama tanah tersebut supaya senang dia menjaga nyayi. Sebelum nyayi pindah ke rumah tersebut, kami sering dibawa abah untuk menziarahi nyayi waktu itu arwah nyayi tinggal di Pekan Semerah.
Selepas arwah nyayi berpindah dekat dengan kami, kami selalu ke rumah arwah sebab arwah nyayi ada menjaga seorang adik kami iaitu adik yang no. 5. Kami selalu ke sana untuk bermain-main dan kalau kami tidak ke sana adik pula akan datang bermain-main dengan kami di rumah tanpa perlu abah membawa kami lagi.
Satu hari abah pergi ke rumah nyayi, kali ini kami ikut abah sebab kami nak bermain-main di sana. Di rumah nyayi kami sibuk bermain tanpa memperdulikan abah yang berbual dengan nyayi di rumah tengah. Tiba-tiba nyayi memanggil kami, kami berlari mendapatkan nyayi. Kami lihat abah terbaring dirumah tengah seperti tidak sedarkan diri dan nyayi duduk disebelah abah. Nyayi menyuruh kami memanggil emak.
Kami berlari balik memanggil emak. Tidak lama kemudian emak datang. Dia duduk disebelah abah. Kami lihat emak berbual-bual dengan abah dengan suara yang perlahan. Bahasa abah juga susah untuk kami fahamkan. Sekejap-sekejap emak mengangguk-angguk. Tidak lama kemudian kami lihat abah sedar seperti biasa.
Kami kembali bermain seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sebenarnya ini fenomena biasa bagi kami. Fenomena dimana abah tiba-tiba rebah dan kemudian selepas berbual-bual dengan emak dia kembali seperti biasa. Apa yang mak bagi tahu kami 'embah' datang untuk menyampaikan sesuatu pesanan terus kepada emak. Dan apa yang kami tahu bila hal ini berlaku biasanya hanya emak yang dapat memahami apa yang keluar dari mulut abah.
No comments:
Post a Comment