Tuesday, August 19, 2014

CERITA RUMAH KAMI

Cerita ini kami dengar sebahagian dari emak dan sebahagiannya dari abah. Menurut cerita mereka abah beli rumah dan tanah rumah kami sekarang dengan harga yang rendah kerana tiada pembeli yang boleh bertahan lama dengan rumah ini. Menurut mereka, tapak rumah kami adalah tapak rumah orang halus yang mana sesiapa yang tinggal disitu akan jadi mangsa gangguan mereka kerana itu adalah cara mereka untuk menghalau pembeli rumah ini.

Abah beli rumah ini sejak dia bujang dan menurut cerita abah dia duduk dirumah tersebut bersama beberapa orang rakan yang lain. Cerita abah lagi setiap malam mereka akan tidur di atas katil bersama dan setiap pagi rakan-rakan abah yang lain akan dipindahkan ke tempat lain. Maksudnya hanya abah sahaja yang kekal tidur di atas katil, manakala seorang kawannya diletakkan dalam bilik air dan seorang lagi di tengah halaman. Tidak setakat itu mereka juga menakut-nakutkan kawan-kawan abah dengan gangguan-gangguan lain sehingga abah marah.

Abah kemudiannya berhasrat memindahkan mereka bagaimanapun mereka memohon maaf dan berjanji tidak akan mengganggu lagi. Abah bersetuju dan membiarkan mereka terus tinggal disitu. Bagaimanapun seperti yang semua sedia maklum mahluk seperti ini tidak pernah berpegang kepada janji. 

Setelah berkahwin dengan emak, abah membawa emak tinggal dirumah ini. Banyak kejadian pelik berlaku sehingga emak merasa takut untuk tinggal dirumah ini. Pernah satu malam sedang emak membasuh pinggan, emak terdengar suara pak cik memanggil emak dari pintu belakang. Bila pintu dibuka tiada sesiapa yang kelihatan.

Melihatkan hal ini berlanjutan abah lalu mengambil keputusan memindahkan mereka dari tapak rumah kami. Menurut emak, abah pindahkan mereka pada malam jumaat dan menurut emak malam itu hujan lebat dan kedengaran suara ramai orang menangis. Menurut emak lagi keluarga mereka besar dan abah telah memindahkan mereka ke sawah dihadapan rumah kami. Bahagian mana sawah itu kami tak pasti yang pastinya di sawah depan. Dan menurut emak lagi semua keluarga tersebut dipindahkan kecuali seorang yang tidak mahu berpindah kerana telah tua. Dia memberikan alasan yang dia telah lama disitu dan berjanji dengan abah tidak akan menganggu keluarga dan kawan-kawan abah.

Sejak peristiwa itu tiada lagi gangguan-gangguan dirumah kami. Jika ada pun cuma dari orang-orang yang datang berubat kerana diganggu mahluk-mahluk seperti ini. Sewaktu peristiwa ini terjadi aku belum lagi dilahirkan ke dunia ini kerana menurut emak waktu itu emak baru ada dua orang anak sahaja.


 

No comments:

Post a Comment