Tuesday, August 12, 2014

ZAMAN MUDA DAN KEHEBATAN ABAH




Kisah zaman muda abah banyak yang kami dengar dari kawan-kawan rapat abah. Kawan-kawan rapat abah bermakna pak cik-pak cik kami, yang kami kenal sejak kami lahir yang turut sama meraikan kehadiran kami dalam dunia ini.Antaranya Pak Cik Syukri yang nama sebenarnya Syukor Bin Jiman. Dia juga menghantar kami ke sekolah sejak kami Tadika hingga kami dewasa. Dia sama-sama tinggal di rumah kami sebelum berkahwin.

Berbalik ke kisah muda abah, dari cerita seorang kawan baik abah, abah adalah seorang yang gemarkan motor. Dia juga hebat dalam memandu motor dan kami percaya sebab abah satu-satunya orang yang kami tak pernah merasa takut bila naik kenderaan bersama. Mungkin sebab dia abah kami jadi perasaan kami seperti itu. Jika abah dilahirkan di zaman ini mungkin abah juga akan gemar berlumba motor...hehehehe.

Sejak muda abah telah memiliki keistimewaan sendiri. Dia juga menuntut ilmu perubatan dan persilatan sejak muda. Cerita kawan abah lagi abah bukan saja boleh mengubat orang sakit tetapi dia juga boleh mengubah kertas menjadi duit bagaimanapun ianya tidak boleh digunakan kepada orang islam dan wang kertas yang berubah ini takkan bertahan lama hanya untuk tempoh sekejap sahaja.

Cerita mereka lagi abah boleh menukar air menjadi minyak. Pernah seorang rakan yang memandu bersama-sama abah kehabisan minyak kereta. Abah menyuruh rakan itu memasukkan air kedalam tank minyak dan kemudian mereka meneruskan perjalanan. Bagaimanapun kami tidak mengetahui kebenaran cerita ini kerana ianya hanya dari cerita mulut ke mulut.

Apa yang kami tahu dari cerita emak, kehebatan ilmu abah menukar kertas menjadi duit akan hilang bila dia berkahwin. Dari cerita emak selepas emak lahirkan aku iaitu anak ke 4, abah berhasrat untuk mendapatkan kembali ilmu tersebut. Untuk mendapatkannya abah kena ke Indonesia dan bertapa di Gunung .... selama 7 tahun. Bermaksud abah terpaksa meninggalkan emak selama 7 tahun. Emak tidak bersetuju memandangkan ianya tempoh yang lama dan abah terpaksa membatalkan niat tersebut.

Satu lagi kehebatan abah ialah dia boleh berada di 2 tempat berbeza bagaimanapun saya tidak dapat bercerita lanjut sebab cerita ini terlalu lama dan seingat saya cerita ini diceritakan oleh ibu saudara yang saya sendiri lupa yang mana satu.

Satu kehebatan abah yang pernah kami alami ialah ketika jumaat kliwon. Jumaat Kliwon adalah malam penting dalam perubatan abah. Setiap kali Jumaat Kliwon, rumah kami macam kenduri. Ramai orang datang dan abah seperti biasa dia adalah seorang pemurah yang akan menyediakan makan untuk setiap orang yang datang ke rumah kami. Sampai ada ketikanya kami bosan sebab selepas waktu makan pon kami terpaksa menyiapkan makan untuk tetamu yang datang. Dan sebab itulah kami rasa Allah murahkan rezeki abah. Abah suka memberi makan orang yang berkunjung dirumah dan itu menjadi satu kewajiban baginya. Dia juga tidak pernah mengambil duit perubatan yang diberi dari orang-orang miskin sehinggakan ada seorang hamba Allah yang susah dan selalu berjumpa abah merasa malu, lalu dia datang membawa gula atau kopi sebagai ganti kerana abah tidak pernah mahu mengambil duit yang diberikan.Cerita ini bukan tujuan untuk menunjuk-nunjuk tapi biarlah ia jadi tauladan untuk kita.

Kembali ke cerita Jumaat Kliwon, Malam itu orang yang datang ramai sangat lebih ramai dari biasa. Abah panggil semua orang turun makan. Kami di dapur risau sangat takut nasi tak cukup. Kakak ke depan memanggil abah kedapur. "Abah...nasi macam tak cukup, orangnya ramai ni" dia bagi tahu. Abah tenang aje. Dia cakap dengan akak "jangan risau mesti cukup" Dia pesan dekat akak supaya ambil nasi macam biasa. Tak tahulah apa yang abah buat...kami heran nasi yang disenduk tak habis-habis. Macam dah habis bila senduk ada lagi. Akhirnya semua dapat makan, nasi yang macam tak cukup tu cukup untuk semua orang.

Itu cerita kehebatan abah yang kami dengar dan alami. Percaya atau tidak terpulang...bagaimanapun apa yang abah miliki semua anugerah dari Allah SWT dan dengan izinnya. Abah seorang yang tidak lekang dari membaca quran dan berpuasa. Kami lahir dengan menyaksikan abah berpuasa hampir setiap bulan. Kami paling gemar mendengar abah mengaji kerana abah mempunyai suara yang lunak bila mengaji. Abah mengaji hampir setiap pagi dan selepas maghrib dan aku pernah berimpian untuk jadi seperti abah.  

 

1 comment: