Sebenarnya kisah Gunung Ledang ni saja aku simpan sebab ada banyak gambar dalam simpanan yang boleh di'upload' untuk tatapan semua tetapi memandangkan idea menulis datang so aku tulis juga hari ini.
Untuk kisah Gunung Ledang ini, aku menggunakan 'aku' sebab ianya adalah pengalaman yang aku sendiri alami. Ini kerana kami adik beradik tidak pernah pergi serentak ke Gunung Ledang mengikut abah. Biasanya ikut 'turn'. Maklumlah 10 orang.
Sepanjang hidup dan bergelar anak abah aku pergi ke Gunung Ledang mengikut abah cuma 2 kali. Pertama ketika aku masih sekolah rendah. Waktu itu aku pergi bersama-sama dengan emak, seorang kakak dan seorang sepupu serta beberapa orang lagi. Kami naik ke atas menuju tempat penginapan biasa iaitu Gua Chap melalui jalan biasa yang ditunjukkan abah. Orang-orang yang telah lama dan biasa lebih arif tentang jalan ini.
Untuk naik ke Gunung Ledang ini, dimestikan memakai pakaian berwarna hitam. Menurut cerita emak pakaian hitam ini sebenarnya ada cerita tersendiri. Cerita emak lagi dulu sewaktu abah naik ke Gunung Ledang sendirian dia telah dikepung oleh sekumpulan orang asli di Gunung Ledang. Ketika mereka mula menyerang abah, abah telah melompat naik ke atas pokok dan hal ini membuatkan mereka terkejut dan terus tunduk menghormati abah. Bermula dari situ mereka berjanji tidak akan mengganggu sesiapa yang memakai pakaian hitam kerana menurut perjanjian sesiapa yang memakai pakaian hitam adalah pengikut-pengikut dan ada hubungan dengan abah. Bagaimanapun aku tak pasti orang asli yang dimaksudkan mak benar-benar manusia biasa seperti kita atau tidak.
Biasanya abah akan membuat khemah di atas tanah yang cukup-cukup untuk sebuah khemah berhampiran dengan tempat tidur perempuan. Memandangkan kali ini perempuan agak ramai, mak menyuruh aku tidur dengan abah. Malam pertama aku tidur dengan abah, tiba-tiba aku terjaga.Aku tengok abah tak ada dekat sebelah. Punyalah takut. Dahlah dengar bunyi harimau. Sorang-sorang pulak dalam khemah. Teringat pulak abah pernah kata kalau bunyi dekat maknanya harimau itu jauh tapi kalau bunyi perlahan maknanya harimau itu berada dekat. Abah kata bila tengah malam harimau tu akan mandi di air terjun yang betul-betul depan Gua Chap tu. Seram aku.
Esoknya pagi, masa sarapan abah datang dari arah hutan atas seberang air terjun. Dia membawa pulut kuning, rendang ayam hutan dengan beberapa biji telur lalu diberikan pada mak. Orang Gunung bagi kata abah. Kalau difikirkan semula macam tak logik aje, mana abah dapat rendang ayam tu sebab aku tak pernah nampak abah memasak.Apa yang aku tahu sepanjang hidup dengan emak abah tak pernah mengambil nasi dari periuk untuk makan. Semua makanan abah siap terhidang dan abah cuma makan aje. Senduk nasi pon mak yang buat. Baiknya seorang isteri dan aku rasa aku pon tak mampu jadi macam emak.Bagaimanapun semua ini hanya ketika abah sentiasa bersama kami.
Sebenarnya banyak cerita kejadian-kejadian pelik yang pernah aku dengar dari orang-orang yang sama-sama naik ke Gunung Ledang tapi tak semua boleh dipercayai. Ada yang lebih berimiginasi sebab setiap kali kami dengar cerita dari mulut orang kami akan bertanya abah samada cerita itu betul atau pun tidak. Dan abah akan mengiakan jika betul dan akan ketawa bila tidak.
Satu kisah yang abah cerita lagi ialah seorang pak cik yang juga sahabat baik abah yang ikut sama naik buat pertama kali. Pak cik ni orangnya lurus. Bila dia tak suka dia cakap dia tak suka. Bila dia suka dia akan memuji. Dia jujur dan tidak berpura-pura. Abah kata semua yang pak cik ni cerita betul. Mungkin sebab hati dia bersih dia diberi keistimewaan untuk melihat bermacam-macam perkara. Dia nampak orang jual sapu tetapi dia lari sebab dia sangka orang tu nak pukul dia dengan penyapu. Abah kata pak cik tu sepatutnya beli penyapu tu bukan lari. Mungkin tak ada rezeki dia. Dah meninggalpun orangnya. Semoga Alllah mencucuri rahmat ke atas arwah.
Kali kedua aku pergi aku berada dalam tingkatan 3 kalau tak silap. Kali ni aku pergi dengan dua orang kakak. Kali nie juga Allah izinkan aku lihat sendiri dengan mata aku alam ghaib. Malam tu tengah aku dengan kakak duduk-duduk, abah panggil kami. "Nak tengok istana bunian tak?" tanya abah. Kami apa lagi terus bangun. Abah panggil kami naik ke atas dimana khemah abah didirikan. "Nampak tak obor api tu?" tanya abah smbil menunjuk ke satu arah dibawah. Waktu itu aku nampak obor-obor api yang banyak tersusun mengelilingi sesuatu yang besar. Tapi cuma obor-obor api aje yang nampak lain tak nampak. "tengah-tengah yang kosong tulah istana bunian" tambah abah lagi. Patutlah obor-obor api itu seperti mengelilingi sesuatu yang besar, rupa-rupanya istana. Untuk aku, aku hanya nampak api sahaja...emmm tak ada rezeki. Bila siang kami naik semula untuk melihat tempat tersebut, apa yang kami nampak cuma hutan tebal. Dan walaupun cuma obor-obor api, aku rasa bangga sebab setidaknya aku nampak ianya tersusun mengelilingi sesuatu dan aku bertuah dapat menyaksikan satu lagi kekuasaan Allah.
Pengalaman menaiki Gunung Ledang ini, adalah paling bermakna buat diri aku. Teringat bila sampai dikemuncak Gunung dimana kaki mencecah awan dan memijak tanah lapang yang berumput halus aku dapat rasakan tempat itu ada yang menjaganya. Kebenarannya hanya Allah sahaja yang tahu.
Kalau lah boleh naik lagi ...
ReplyDelete